Masalah air di Selangor sememangnya bukan sesuatu yang baru untuk dihadapi oleh penduduknya. Hampir setiap bulan pasti berlaku gangguan tersebut sehingga orang ramai sudah penat untuk merungut.
Kali ini, masalah itu kembali menghantui penduduk ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakkan Bersasar (PKPB) yang terpaksa mereka lalui disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang semakin ‘menggila’.
Oleh sebab itu, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew terpanggil untuk memberikan bantuan kepada sebahagian penduduk yang terjejas akibat daripada masalah tersebut.
Menerusi posting di laman Facebook, beliau memaklumkan telah membeli dua lori besar air untuk diagihkan kepada penduduk di Pinggiran Batu Caves, Gombak.
Beliau berkata, urusan mengagihkan air telah dilakukan sejak jam 10 malam sehingga subuh bagi memastikan penduduk sekurang-kurangnya mendapat bekalan air.
Tambahnya, melihat keadaan orang yang sudah berusia mahu mendapatkan air membuatkan dirinya berasa sayu dan meminta pembantunya menolong warga emas mengangkat air untuk dibawa ke kediaman masing-masing.
Sehubungan dengan perkongsian tersebut, rata-rata warganet telah meninggalkan komen dengan meluahkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan pendakwah berkenaan.
Mereka juga tidak lepas mendoakan agar Ebit terus dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik agar dapat membantu orang ramai lagi.
Sumber: Ebit Lew
Sumber: Beli 2 lori besar air, Ebit Lew agih air bersih kepada warga Selangor
0 Comments