Kemangkatan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah iaitu Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim pada hari Sabtu lalu pastinya mengejutkan seluruh rakyat negara itu dan juga Malaysia.
Almarhum yang juga kekanda kepada Pengiran Muda Abdul Mateen telah mangkat pada usia 38 tahun jam 10.08 pagi waktu tempatan.
Bagaimanapun menerusi laporan media, tiada sebarang maklumat berkenaan punca Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim meninggal dunia.
Selepas empat hari kemangkatan, Pengiran Muda Abdul Mateen atau Putera Mateen telah memuat naik kenyataan di laman Instagram memberitahu punca sebenar pemergian kekandanya.
“Awal tahun ini, abang saya disahkan mengidap systemic vasculitis yang merupakan penyakit autoimun. Penyakit autoimun adalah keadaan sistem imun yang tidak normal di mana antibodi menyerang tisu badannya sendiri.
“Pada masa yang sama, dia juga menghadapi gangguan bipolar yang membuatkan semangat juangnya semakin sukar,” tulisnya.
Dalam pada itu, Putera Mateen turut menceritakan keperibadian kekandanya yang disifatkan sebagai seorang yang sangat ceria dan menggembirakan hati ramai.
“Hari tidak akan sunyi bila Abang Azim ada bersama. Dia selalu prank, buat lawak dan tidak terlalu serius menjalani kehidupan.
“Gelak tawanya sering buatkan orang lain berasa lucu tidak kira perkara itu kelakar atau tidak, semua orang akan ketawa bersama.
“Saya sering habiskan zaman kanak-kanak bersama abang, dia banyak mengajar saya dan buatkan saya seperti hari ini. Oleh kerana itu, saya sangat bersyukur,” katanya.
Pada akhir penulisan, putera raja berusia 29 tahun itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya atas kemangkatan Pengiran Muda ‘Abdul’ Azim.
Baginda turut memaklumkan bahawa seluruh kerabat diraja Brunei berada dalam keadaan baik namun mengakui amat merindui Almarhum.
Sumber: tmski
Sumber: Putera Mateen dedah punca kemangkatan Pengiran Muda ‘Abdul ‘Azim
0 Comments