loading...

Semua mangsa insiden kapal Dayang Topaz dibawa ke Pelabuhan Miri

Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan dua kru warganegara Indonesia iaitu kapten kapal dan ‘Chief Officer’ berusia antara 21 hingga 63 tahun.

Kapal MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian, akan diiring balik ke Pelabuhan Miri.

Sementara itu, Jabatan Laut dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan kemalangan marin itu berlaku di Latitud 04º 40.00’N dan Longitud 13º 51.00 E’ lebih kurang 7.7 batu nautika (kira-kira 14.3km) dari Kuala Baram, Miri.

Kru kapal MV Dayang Topaz iaitu kapal jenis ‘Accommodation Work Barge’ milik DESB Marine Services Sdn Bhd telah menghantar isyarat kecemasan ke kapal Sapura Constructor yang memulakan gerakan bantuan awal.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan oleh Agensi Penguatkuasaan dengan bantuan kapal-kapal di bawah seliaan SKO Petronas Carigali Sarawak Operations.

Berdasarkan maklumat awal, insiden berlaku dalam keadaan cuaca buruk yang menyebabkan kabel sauh kapal Dayang Topaz terputus mengakibatkan kapal tersebut tidak dapat dikawal dan melanggar platform Minyak Baram B.

Menurut kenyataan itu lagi, kesan kerosakan akibat perlanggaran ini belum dipastikan lagi. Bagaimanapun tiada sebarang kejadian pencemaran marin dikesan.

Sumber: Bernama



Sumber: Semua mangsa insiden kapal Dayang Topaz dibawa ke Pelabuhan Miri

Post a Comment

0 Comments