loading...

Kibar bendera putih demi anak & isteri, lelaki bersyukur bantuan tiba mencurah-curah

Kempen ‘kibar bendera putih’ yang disarankan kepada mereka yang memerlukan bantuan nampaknya berjaya memberikan sinar harapan buat sesetengah keluarga.

Sejak semalam, posting seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Hambamu Seikhlas tular apabila memuat naik gambar kibaran bendera putih di hadapan rumahnya kerana sudah buntu untuk mencari pendapatan.

Namun begitu, menerusi Harian Metro, lelaki tersebut yang dikenali sebagai  Zulkiflie Samsudin, 39, dari Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai memaklumkan yang bantuan diterima sudah mencukupi.

Tindakannya sebelum ini dilakukan semata-mata untuk anak dan isteri yang sarat hamil kerana sudah buntuk memikirkan cara meneruskan kehidupan.

“Saya tidak tahu sama ada tindakan kibar bendera putih ini betul atau tidak, tapi saya lakukannya demi anak dan isteri kerana kami terputus bekalan makanan,” 
“Saya sedih kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin kerana masalah kewangan dan keadaan saya bertambah buruk sejak awal tahun ini. Apatah lagi isteri sedang hamil enam bulan,” ujarnya.
“Saya kibarkan bendera petang semalam selepas melihat ada kempen di media sosial dan Alhamdullilah bantuan diterima mencurah-curah hingga mampu menampung keperluan keluarga selama beberapa bulan.
“Malah ada juga warganet yang sanggup melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama sebulan berjumlah RM800 selain bayaran ansuran kereta selama tiga bulan bernilai keseluruhan RM1,200,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang penderma turut telah memuat naik tangkapan skrin barangan yang telah diserahkan kepada Zulkiflie sekeluarga dan meminta orang ramai menghentikan penyerahan bantuan kerana sudah mencukupi.

Selain itu, lelaki berkenaan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sanggup menghulurkan bantuan kepadanya serta isteri yang sedang sarat hamil 6 bulan dan dua orang anaknya.

Dia juga berharap orang ramai dapat menghentikan bantuan yang diberikan kerana sudah mencukupi serta memohon maaf andai tidak sempat ‘bertegur sapa’ dengan warganet kerana bimbang dituduh sebagai scammer.

Terdahulu, kempen yang diuar-uarkan di media sosial oleh rakyat Malaysia telah mendapat perhatian berikutan menyedari ramai yang dalam kesusahan ketika ini.

Inisiatif tersebut sebagai salah satu langkah untuk memastikan jiran tetangga berada dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlangsung.

Sumber: Harian Metro (Mary Victoria Dass), Kredit Foto Harian Metro, Facebook Hambamu Seikhlas



Sumber: Kibar bendera putih demi anak & isteri, lelaki bersyukur bantuan tiba mencurah-curah

Post a Comment

0 Comments