loading...

Niat nak meninggal ketika buat baik, isteri reda suami ‘pergi’ kerana bantu orang

Beberapa hari lepas, akhbar semasa ada melaporkan berkenaan seorang lelaki penghantar barang yang nekad terjun untuk membantu seorang remaja yang terjatuh ke dalam longkang berarus deras di Pasir Gudang.

Walau bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia disebabkan lemas.

Penghantar barang yang dikenali sebagai Mohd Asraf, 32 itu merupakan bapa kepada 4 orang anak yang masih kecil dan seorang isteri.

Dalam luahan isterinya di media sosial, wanita yang dikenali sebagai Fara Atiqah ini telah menulis dengan mengucapkan terima kasih kepada arwah suaminya sepanjang 6 tahun perkahwinan tersebut.

Dia juga akan mengingati segala pesan-pesan arwah yang kerap diucapkan sejak beberapa minggu lalu. Paling diingati sudah tentu niat yang pernah diberitahu isteri berkenaan keinginannya meninggal dunia ketika membantu orang lain.

Dalam pada itu Fara Atiqah sempat menulis pesanan kepada anak-anaknya yang bakal membesar nanti supaya mengikuti jejak langkah arwah bapa mereka yang sangat ringan tulang membantu orang lain.

Dia juga menzahirkan rasa terima kasih kepada semua yang mendoakan allahyarham dan berdoa segala urusan mereka dipermudahkan.

Wanita itu turut meminta agar sesiapa yang mengenali suaminya dapat memaafkan kesilapannya andai ada yang terasa sepanjang mereka berkenalan.

Dia juga meminta dihalalkan segala makan dan minum arwah dan sempat mengucapkan terima kasih kepada keluarga, kenalan serta rakan-rakan arwah yang memberi sedikit kekuatan untuknya meneruskan kehidupan.

Semoga ahli keluarga yang ditinggalkan dapat bertabah dan bersabar dengan dugaan ini. Salam takziah.

Sumber: Harian Metro (Mary Victoria Dass), Facebook Fara Atiqah 



Sumber: Niat nak meninggal ketika buat baik, isteri reda suami ‘pergi’ kerana bantu orang

Post a Comment

0 Comments