loading...

Pedalaman tiada ‘line’ internet, guru gigih naik perahu hantar tugasan kepada murid

Perahu menjadi ‘bilik darjah’, begitulah inisiatif yang dilakukan oleh seorang guru di Kinabatangan dalam memastikan tiada pelajarnya tercicir dalam pelajaran ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dijalankan.

Bukan itu sahaja, guru yang dikenali sebagai Nasir Mohamed Jamal dari Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Permai itu turut menggunakan perahu untuk menghantar modul pembelajaran  setiap minggu kepada pelajarnya.

“Saya dan beberapa rakan sekerja melakukan inisiatif untuk menghantar sendiri bahan PdPR sebanyak sekali atau dua kali seminggu kepada pelajar dengan menaiki perahu.
“Ini kerana PdPR tidak boleh dilaksanakan kerana kami tiada perkhidmatan internet yang baik,” katanya ketika dihubungi pihak Bernama.

Berbekalkan sebuah beg mengandungi modul PdPR serta meja lipat, Nasir yang merupakan seorang guru subjek Sains, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan, meninggalkan rumahnya ke perahu kayu beratap yang dikemudinya sendiri di Sungai Kinabatangan untuk ke rumah murid-muridnya.

Oleh kerana tiada jeti atau tempat turun dari perahu yang sesuai, guru berusia 39 tahun itu perlu berhati-hati ketika keluar dari perahunya di kawasan cetek tepi sungai untuk menjemput muridnya di rumah berdekatan.

“Kami akan menerangkan kepentingan untuk melanjutkan pelajaran kerana mereka ini boleh berjaya dan membawa perubahan kepada masyarakat sekeliling mereka,” jelasnya.

Menurutnya, sejak berkhidmat 10 tahun lepas dia mengakui keadaan kawasan pedalaman yang berbeza dari bandar melahirkan rasa tanggungjawab dalam dirinya serta 5 guru lain untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar.

Sumber: BERNAMA



Sumber: Pedalaman tiada ‘line’ internet, guru gigih naik perahu hantar tugasan kepada murid

Post a Comment

0 Comments